Gurauan Kapten Zaharie Kepada Rakan, Pusara Beliau Tidak Akan Dijumpai
Juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah pernah bergurau
kepada kenalan rapatnya bahawa rakannya itu tidak akan menjumpai
pusaranya menjadi petanda yang beliau akan pergi buat selama-lamanya.
Bernama melaporkan, Mohaza Mohaza, kenalan rapat kepada Zaharie berkata,
dia tidak menyangka bahawa gurauan juruterbang itu pada Aidilfitri lalu
di Tanah Perkuburan Jalan Perak, Pulau Pinang merupakan satu kiasan
untuk pergi meninggalkan semua.
“Zaharie memberitahu saya (secara gurauan) yang saya
tidak akan jumpa kubur atau pusaranya. Inilah rupa maksudnya. Baru saya
mengerti. Pusaranya di Lautan Hindi.
“Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri setinggi-tinggi rahmat ke atas
rohnya dan juga muslimin muslimat pesawat MH370 kesemuanya serta
ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. Amin,” katanya.
Anak kepada Zaharie, Ahmad Idris Zaharie turut berkongsi rasa terharu
dengan sokongan dan kata-kata semangat dari sahabat serta kenalan
bapanya.
Di laman Facebook ‘Friends of Captain Zaharie MH370′, Ahmad Idris
menulis “Terima kasih semua untuk sokongan yang diberikan. Aku bersyukur
kepadamu Ya Allah kerana telah meminjamkan aku seorang ayah yang
berdedikasi dan penyayang selama 31 tahun aku ini. Al-Fatihah.”
Anak perempuan Ketua Pramugara, Andrew Nari, Maira Elizabeth turut
memuat naik gambar ayahnya dan menulis di laman Twitter, “Rasa begitu
kehilangan, begitu kosong. Saya amat penat. Selamat malam ayah.
“Bagaimana saya boleh kuat? Bagaimana saya boleh tersenyum? Satu jawapan
untuk soalan anda kerana saya percaya pada tuhan dengan kekuatan dan
kepercayaan.”
Catatan isteri krew MH370, Mohd. Hazrin Hasnan, Intan Maizura Othaman dalam laman sosial Facebooknya, amat menyentuh hati.
“Pada 8 Mac lalu memang mami dah jangka yang awak sudah berada di syurga
tetapi pada keesokan harinya saya tetap berfikiran positif dan berharap
awak masih hidup dan kembali pulang.
“Hari berlalu dan tiada berita sehingga malam semalam, 24 Mac, pada
pukul 9.30 malam saya menerima berita yang awak dan penumpang lain
sedang berehat di lautan yang sangat dalam, Lautan Hindi. Ia amat
memeranjatkan tetapi Allah lebih menyayangi awak. Saya reda dengan
pemergian awak, B.
“Apa yang berlaku sangat misteri tetapi siapalah kita untuk menyoal
kuasa Allah. Allah pasti ada perancangan yang lebih baik untuk awak dan
saya,” katanya.
Tambah Intan, bermula hari ini (semalam), beliau akan menjadi wanita bionik untuk berhadapan realiti.
“Saya akan memberitahu Iman bahawa anak kecil itu kehilangan papanya
sementara Muhammad akan menjadi tiang untuknya teruskan hidup.
Insya-Allah Iman dan Muhammad tidak akan mengecewakan awak,” jelasnya.
Jelasnya, cinta terhadap suaminya akan kekal sehingga ke syurga.
“Adakah awak ingat lagi semasa saya memberitahu untuk menjadi bidadari
di syurga? Saya amat cemburu sekarang awak bersama mereka tetapi tidak
mengapa, saya akan bersama awak kemudian. Kan Allah dah janji mati itu
pasti.
“Awak adalah suami dan ayah yang terbaik. Allah maha besar kerana
meminjamkan awak kepada saya walaupun sekadar untuk tempoh yang singkat.
Kenangan itu sangat manis dan terbaik. Semoga Allah tempatkan awak di
tempat orang-orang yang beriman. Saya cinta awak, B,” katanya, lapor
Utusan Online.
isihati imanhakeem : susah nak terima kenyataan ni...tapi semalam dan hari ni terpaksa terima hakikat...Allah sebaik-baik perancang..mungkin ada hikmah di sebalik kejadian...sentiasa berdoa semoga Allah tunjukkan kebenaran atas apa yang terjadi..hanya setakat ni kemampuan kita untuk mencari...jika ini angkara manusia kejam..jumpalah di padang mashyar nanti..cuma tunggu berita kut-kut ada yang nak minta maaf ngan keluarga Kapten..tuduhan yang amat besar bagi keluarga yang baik-baik..sebagai manusia biasa tak semudah itu untuk memaafkan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan