Isnin, 15 Disember 2014

Jom Kongsi...Di Sebalik Mustapha Maarof Ada Cerita Rupanya...

PETALING JAYA: Dunia hiburan pada Isnin dikejutkan dengan berita kematian seniman tersohor, Datuk Mustapha Maarof yang menderita akibat jangkitan paru-paru.

Allahyarham menghembuskan nafas terkahir di Hospital Tentera Tuanku Mizan Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Pemergian Allahyarham selepas kira-kira tiga bulan pengarah Jamil Sulong meninggal dunia.

Tentunya seluruh peminat menyimpan perasaan sedih apabila satu demi satu legenda filem Melayu klasik meninggalkan industri hiburan tanah air.

mStar Default Image
Jenazah Allahyarham dikebumikan sebelah pusara isterinya, Roseyatimah di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Kali terakhir penulis menemui Allahyarham Mustapha, 79, pada 7 Julai lalu iaitu di Astro ketika sama-sama terlibat sebagai ahli penel Anugerah Lawak Warna anjuran stesen televisyen itu.

Allahyarham ketika itu adalah ketua juri bagi kategori filem.

Dalam pertemuan singkat itu, penulis berborak mengenai dua perkara menarik yang menjadi nostalgia abadi dalam hidupnya iaitu isteri dan ayah.

“Saya ni hilang kasih sayang. Kasih sayang isteri dan kasih sayang seorang ayah,” ujarnya memulakan bicara.

Pastinya tidak ramai yang mengetahui, bapa Allahhyarham iaitu Maarof Zakaria ialah pengasas Bank Kebangsaan Melayu pada tahun 1947.

Kematian Maarof mengejutkan negara  kerana mayatnya dibunuh dengan kejam selepas enam bulan bank berkenaan beroperasi.

Allahyarham (duduk dari kanan) bersama rakan-rakan artis iaitu Ahmad Kecchik dan Datuk Aziz Sattar (berdiri dari kiri), Ahmad Mahmud serta Salleh Kamil. 

Mayatnya ditemui tergantung di dalam hutan. Pembunuhannya dipercayai ada kaitan dengan penubuhan bank berkenaan.

Saya bertanya, semasa kejadian, adakah apa-apa perasaan yang beliau rasakan?

Dengan pantas Mustapha berkata, dia tidak begitu merasai apa-apa kehilangan kerana usia yang masih kecil ketika itu.

Namun ketika sedang membesar, baharulah Mustapha merasai beliau sebenarnya kehilangan seorang ayah yang hebat iaitu pengasas sebuah bank.

"Tahu atau tidak, apabila saya sudah besar, baru saya tahu nama Jalan Maarof (di Bangsar) itu diberikan sempena nama ayah saya… sebelum itu saya langsung tidak tahu mengenainya,” kata Allahyarham.

Menurut beliau, selepas diceritakan semula mengenai kematian arwah ayahnya itu, Mustapha mengakui beliau benar-benar sedih apatah lagi pembunuhan itu berlaku dengan kejam.

Salah satu watak Roseyatimah dengan S Shamsuddin.


Malah kehilangan kasih sayang seorang ayah ketika usia menginjak dewasa bukanlah sesuatu perkara mudah untuk ditempuhi.

Tetapi perkara itu terhapus selepas beliau bertemu jodoh dengan seniwati Roseyatimah  ketika sama-sama terlibat dalam dunia lakonan yang bertapak di Singapura.

Pencintaan mereka diperkukuhkan selepas kedua-duanya terlibat dalam filem Seri Mersing pada tahun 1961 arahan Salleh Ghani sebelum kedua-duanya memutuskan untuk bernikah pada 1967.

Namun, kasih sayang suami-isteri yang disemai itu tidak kekal lama apabila Roseyatimah atau nama sebenarnya Rosnah Jamil meninggal dunia pada 14 Disember 1987 iaitu kira-kira 20 tahun perkahwinan mereka.

Roseyatimah meninggal dunia akibat kanser payudara.

Ketika kematian isteri tercinta, kata Mustapha, luluh jiwanya apatah lagi ketika itu anak-anak masih kecil yang memerlukan kasih sayang seorang ibu.

Tempoh 20 tahun perkahwinan itu masih seperti berbulan-madu.

Oleh sebab itulah Allahyarham menyifatkan, sukar melupakan isterinya itu sehingga membuatkan dia terus memutuskan untuk tidak berkahwin lain.

Dalam satu temubual Allahyarham berkata, suara manja isterinya masih terngiang-ngiang di telinga walaupun sudah lama kematiannya.


Sebab itulah kediamannya di Subang Jaya dekat sini masih dipenuhi barang-barang perhiasan dan kenangan milik isterinya itu yang masih dijaga rapi termasuklah berpuluh buku resipi.

Malah beliau juga tidak dapat lupa bagaimana sempurna arwah isteri melayannya dan anak-anak selain hebat ketika di dapur.

“Saya benar-benar kasih dan sayangkan isteri saya itu dan memori saya bersamanya sukar untuk saya lenyapkan,” ujar Mustapha.

Semasa hayatnya, Allahyarham sering diberi ruang menjadi hero-hero filem khususnya bagi watak puera raja dan pebesar-pembesar istana.

Filem Bawang Putih Bawah Merah ternyata menyerlahkan ketampanan beliau dengan membawa watak Putera, memburu di hutan lalu berjumpa gadis sunti bernama Merah yang cantik manis untuk dijadikan isteri.

Filem lain yang dibintangi Allahyarham antaranya Raden Mas (1958), Sumpah Pontianak (1958) Yatim Mustapha (1959, Sultan Mahmud Mangkat Di Julang (1961), Detik 12 Malam (1979) dan Abang 92 (1993).

Maria Menado Dedahkan Kesetiaan Mustapha Maarof
Dalam satu temubual dilakukan wartawan mStar OnlineMOHD AL-QAYUM AZIZI, seniwati Datuk Maria Menado mendedahkan sikap setia Mustapha terhadap Roseyatimah.

Kata Maria, Allahyarham sering mengelak apabila beliau menimbulkan soal perkahwinan biarpun ada yang cuba untuk menjodohkannya dengan beberapa wanita.

Menariknya, Mustapha menolak dengan baik.

"Ada beberapa wanita yang berkenan dengan Mustapha tetapi dia sering mengelak apabila saya cuba bercakap soal itu dengan dia.

"Dia cukup setia dengan isterinya sehinggalah ke akhir hayatnya dan Alhamdulillah doanya untuk disemadikan di sebelah pusara Roseyatimah termakbul,” katanya.

Maria memberitahu hubungannya dengan Mustapha rapat selepas mereka sama-sama terlibat dalam filem terbitan Cathay-Keris iaitu Pontianak pada tahun 1957.

"Mustapha seorang yang sangat jujur selain sentiasa menjaga percakapannya supaya tidak menguris perasaan sesiapa dan sebab itu saya senang bersahabat dengannya. 

"Hubungan kami seperti adik-beradik dan kami sering berkongsi masalah dan pengalaman dan tidak sangka dia akan pergi secepat ini," ujarnya.

Malah anak bongsu Mustapha, Mohd Rezainuddin, 38, memberitahu arwah bapanya sentiasa memberitahu rindukan arwah ibunya sebelum dia dimasukkan ke hospital.

"Hampir setiap hari sebelum dia dimasukkan ke hospital dia memberitahu kami dia rindukan arwah ibu selain mengingatkan supaya kami adik-beradik sentiasa bersatu hati dan tidak bergaduh," katanya.

Allahyarham meninggalkan tiga orang anak dan tujuh orang cucu.

Sebelum berkahwin dengan Roseyatimah, beliau bernikah dengan Suraya Harun dan dikurniakan seorang anak Suzylynna yang kini berusia 50 tahun.

Selain Mohd Rezainuddin, hasil perkahwinan dengan Roseyatimah Allahyarham memperoleh zuriat iaitu Azlynna, 44, dan Mohammed Khairuddin yang meninggal dunia ketika usia 3 tahun akibat demam denggi.

Jenazah  Allahyarham disemadikan bersebelahan pusara isterinya, Roseyatimah selepas solat Zuhur pada Isnin.

Semoga Allah memberi rahmat kepada roh Allahyarham dan menempatkannya di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah. 



Kisah sedih Pengasas Bank Kebangsaan Melayu


Orang ramai terutama peminat filem Melayu cukup mengenali seniman veteran, Datuk Mustapha Maarof yang terbabit dalam lebih 50 filem sejak sebelum merdeka dan beratus drama di Singapura dan Malaysia.

Tetapi masyarakat mungkin tidak mengenali siapa bapanya, Allahyarham Maarof Zakaria. Bagi penduduk Kuala Lumpur, terutama di Bangsar dan Lembah Pantai, mereka cukup sinonim dengan nama Jalan Maarof, bermula di Dataran Maybank menuju ke pusat beli beli Bangsar.

Siapakah Maarof sebenarnya hinggakan namanya cukup gah untuk diabadikan di antara laluan utama yang menjadi laluan beribu pengguna setiap hari. Allahyarham sebenarnya ada kisah tersendiri yang jarang diperkatakan.

Maarof anak kelahiran Sri Menanti, Negeri Sembilan adalah antara kelompok Melayu elit yang mendapat pendidikan Inggeris yang hidup sezaman dengan tokoh pemikir Melayu, Zainal Abidin Ahmad yang digelar Pendeta Zaaba (16 September 1895 - 23 Oktober 1973).

Bekas peguam dan pegawai daerah di Perak itu juga seangkatan dengan nasionalis negara yang juga penulis, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (14 November 1909 - 7 November 1991).

Bezanya, ketika nasionalis negara dan pemimpin politik sibuk berjuang untuk kemerdekaan, Maarof memilih haluan berbeza dengan mengasaskan bank pertama khas untuk orang Melayu iaitu Bank Kebangsaan Melayu, bertempat di Klang Street, di ibu negara.

Niatnya cukup jelas, jika orang Melayu mahu maju dalam politik dan membangun, mereka mesti mempunyai sistem ekonomi yang kuat, satu daripadanya ia melalui sistem perbankan yang sistematik.

Namun, sayangnya niat murni tokoh itu disalah tafsir pihak tertentu yang tidak mahu melihat tahap kesedaran Melayu terus meningkat dan dilihat menjadi saingan kepada dua bank di Tanah Melayu pada ketika itu, The Chartered Bank milik British dan bank milik Cina iaitu Overseas Chinese Banking Corporation.

Di Bangsar, Kuala Lumpur terdapat satu jalan bernama Jalan Maarof. Tak ramai orang muda yang mengetahui kenapa jalan ini diberi nama Jalan Maarof. 


Bagi yang tahu nama Maarof inilah yang patut menjadi kenangan mengenai cabaran awal yang dihadapi oleh pendukung ekonomi Melayu di masa lalu.

Pada bulan Julai, 1947 sebuah Bank Kebangsaan Melayu telah diasaskan oleh seorang peguam Melayu bernama Encik Maarof Zakaria.

Bank tersebut hanya mempunyai 2 juta saham yang hanya terbuka kepada orang-orang Melayu.

Pelanggannya juga terhad kepada orang-orang Melayu sahaja.

Pada waktu itu hanya ada dua buah bank; iaitu bank milik British bernama The Chartered Bank dan bank milik China bernama Overseas Chinese Banking Corporation.

Di kedua buah bank ini Melayu tidak dibenar meminjam wang.


[Image: maarof3.jpg]


Melayu hanya boleh meminjam wang dari ceti-ceti haram dengan bayaran bunga yang cukup tinggi.

Encik Maarof menjawab cabaran ini dengan menubuhkan bank untuk Melayu sahaja.

Selepas 6 bulan beroperasi dengan jayanya Encik Maarof Zakaria telah didapati terbunuh di Lake Garden. Jam rolex di tangannya dan wang dalam sakunya telah tidak diambil oleh pembunuh itu. Ini bererti pembunuh hanya ingin membunuh pengasas bank Melayu yang didirikan oleh Encik Maarof itu.

Encik Maarof Zakaria telah mendirikan Bank Kebangsaan Melayu dengan bermodalkan 27 ekar Tanah serta tiupan roh semangat perjuangan bangsa Melayu di bidang ekonomi.

Yang membunuh Encik Maarof nampaknya bertujuan membunuh semangat perjuangan Melayu di bidang ekonomi.

Berlandaskan tiupan roh semangat perjuangan Melayu di bidang ekonomi inilah maka dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama dalam tahun 1965 cadangan menubuhkan Bank Bumiputra telah diketengahkan.


imanhakeem: hrmmmm...banyak lagi rupanya cerita-cerita yang kita tak tahu ada di Malaysia..

Tiada ulasan:

MEH! CUTI MATA DI BULAN RAMADHAN 2022

https://www.saudagaremas.com/site/2402/charm-sepatu