Pensyarah kontroversi Dr
Ridhuan Tee Abdullah (gambar) menggariskan tujuh langkah yang boleh
diambil iktibar selepas kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370
dengan 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac lalu.
Pendakwah bebas itu
berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah tidak
menghidangkan makanan dan minuman haram untuk dihidangkan kepada
penumpang di dalam pesawat.
“Elakkan menjamu makanan
dan perkara haram dalam pesawat. Mereka yang meminta arak itu, adalah
di kalangan mereka yang biasa meminum arak. Cuba alihkan mereka dengan
makan tempatan yang lebih berkhasiat seperti cendol dan sebagainya,”
katanya menerusi kolumnya yang diterbitkan Sinar Harian hari ini.
Selain
memastikan arak tidak dihidangkan, Ridhuan mengingatkan agar pramugari
pesawat diberi kebenaran untuk menutup aurat dan membiasakan anak kapal
mengingati Allah di dalam pesawat.Katanya, jangan terlalu mengamalkan budaya barat di dalam pesawat kerana syarikat penerbangan negara lain terlalu mementingkan tradisi mereka.
“Tutuplah aurat pramugari jika mereka berkehendakkan. Lagipun untuk mengelakkan rambut jatuh ke dalam makanan. Tidak salah jika pramugari menutup aurat(Islam) dan pakaian bersopan untuk bukan Islam. Amat menjengkelkan apabila pakaian pramugari singkat dan jarang.
“Kita hendaklah jangan terlalu kebaratan ketika dalam pesawat. Amalkan budaya negara. Utamakan bahasa Melayu. Ucapkan salam mengikut cara kita. Belajarlah dengan anak kapal pesawat Thai, Brunei dan sebagainya. Mereka sentiasa mengutamakan jati diri negara,” katanya.
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu turut mengingatkan anak kapal agar tidak hanyut dengan keseronokan di dalam pesawat sebaliknya disematkan
dengan jiwa kerohanian Islam.
Katanya, selain daripada aspek kerohanian, pemeriksaan ketat di lapangan terbang juga perlu ditingkatkan kerana ia merupakan satu standard operasi biasa
di sesebuah lapangan terbang antarabangsa.
“Sebutlah kalimah Bismillah, Alhamdulillah, salam dan lain-lain. Perkara ini nampak kecil, tapi impaknya besar. Hati berasa lega berada dalam pesawat MAS
dapat mendengar kalimah yang dikaitkan dengan Allah walaupun tidak semua melakukannya.
“Pemeriksaan ketat juga perlu dilakukan. Tidak mengapa, saya rela menanggalkan dan membuka apa yang diminta seperti jam tangan, tali pinggang dan apa jua
peralatan telekomunikasi. Rabalah sepuas-puasnya demi maruah dan keselamatan tanah air tercinta,” katanya. – 24 Mac, 2014. -The Malaysian Insider